Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah perniagaan baharu didaftarkan pada bulan Mac sehingga Oktober tahun ini melebihi jumlah perniagaan yang ditutup pada tempoh sama.

Menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 281,781 perniagaan baharu didaftarkan manakala hanya 31,190 entiti perniagaan memfailkan penutupan dalam tempoh berkenaan.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perniagaan- perniagaan baharu yang didaftarkan sepanjang tempoh Mac hingga Oktober merangkumi milikan persendirian dan kerjasama (89.3 peratus) diikuti syarikat (9.8 peratus) dan kerjasama liabiliti terhad (0.8 peratus).

“SSM turut mengambil inisiatif untuk menutup syarikat tidak aktif (dormant) dengan menghantar notis di bawah Seksyen 551 Akta Syarikat 2016 kepada 35,944 buah syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi menjawab satu artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar harian yang bertajuk “100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditutup”.

Laporan tersebut memetik Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang yang menyebut 100,000 PKS mungkin telah ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac.

Angka berkenaan melebihi data rasmi kerajaan. – MalaysiaGazette