Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional akan bermesyuarat Rabu ini untuk berbincang berhubung cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kerjasama tiga pihak iaitu UMNO, Pas dan Bersatu.

Setiausaha Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha penyatuan ummah harus menjadi tanggungjawab utama dan berterusan mereka.

“Sudah terlalu lama politik kita berlegar sekeliling dua tiga personaliti, bukan atas dasar perjuangan, sudah berkali-kali pula politik nasional cuba diheret kerana mempertahan atau menentang individu.

“Cukup-cukuplah,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini.

Beliau memberi respon kenyataan Tuan Ibrahim semalam, yang dilaporkan berkata, Pas bersama UMNO dan Bersatu bakal membentuk gabungan rasmi dalam masa terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, perbincangan antara tiga parti itu sedang berjalan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Menurut Annuar yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN), beliau hendak menganjurkan pembentukan suatu gabungan besar (grand coalition) yang melibatkan sekurang-kurangnya 12 atau 13 parti politik yang sealiran.

“Mari kita garabkan penyatuan dan muafakat besar yang melibatkan BN, Perikatan Nasional (PN) selaku anggota MN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Gabungan ini terhasil dari muafakat dan kerjasama berkesan anggota dalam kerajaan PN,” katanya.

Beliau berkata, beberapa parti yang bebas atau menolak PH juga boleh dibawa bersama seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Muda (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Yang penting, kata beliau, semua pihak tinggalkan politik yang berlegar sekeliling personality dan kita sepakat menyemarakkan politik penyatuan ummah yang mendahulukan kestabilan, ketahanan nasional dan kepentingan rakyat.

“Semoga ianya satu persiapan dan kesiapsiagaan untuk negara muncul perkasa pasca Covid-19 tahun 2021,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bila dah ada kerjasama tiga pihak iaitu UMNO, Pas dan Bersatu dan dibawa pula parti2 Sabah dan Gabungan Parti Sarawak, insyaAllah kemenangan didalam tangan!

    Ianya berita buruk kepada pembangkang?

Comments are closed.