Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Biarpun Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing telah minta maaf secara terbuka semalam, namun langkah itu dilihat tidak berakhir di situ.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang bingkas bangun sebaik sesi pertayaan lisan berakhir memohon agar King Sing membuat permohohan maaf dalam Dewan Rakyat.

Ini kerana beliau menyifatkan permohonan maaf yang dibuat King Sing semalam adalah tidak ikhlas.

“Permohonan maaf yang dibuat itu tidak ikhlas kerana saya rasa permohonan maaf itu perlu dibuat di Dewan Rakyat kerana kenyataan beliau yang menghentam dan mengkritik pengawai kerajaan yang paling penting pada waktu kini.

“Kalau beliau telah memohon maaf maka keputusan oleh Timbalan Speaker adalah keputusan yang kurang bijak dengan menghalau saya keluar dan juga Kepong keluar,” katanya ketika celahan beliau.

Rayer kemudian diminta duduk oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Rashid mengarahkan Rayer menulis surat kepada Parlimen untuk tujuan itu.

“Sila buat usul bertulis kepada pejabat Parlimen dan kita akan uruskan,” arah beliau.

Dalam pada itu, Rayer berkata, beliau telah memfailkan usul bertulis yang memohon Speaker mengarahkan King Sing supaya meminta maaf di Dewan Rakyat.

Rabu lalu, Rayer diarahkan keluar dari Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said setelah bertikam lidah dengan King Sing.

Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Bintulu itu yang menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah “takut mati” kerana tidak hadir ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Rayer juga menuntut agar arahan keluar dewan terhadap beliau dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng ditarik balik.

“Saya telah menghantar satu usul pada Khamis dan ia telah diterima iaitu untuk memohon Bintulu memohon maaf di Dewan Rakyat dan saya memohon keputusan yang dibuat terhadap saya dan juga Kepong itu ditarik balik,” tambah beliau.

Rashid dalam reaksi belasnya berkata, perkara itu adalah dibawah keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

“Usul telah diterima tapi keputusan belum diumumkan lagi. Saya harap pejabat Speaker akan buat keputusan,” jelas Rashid.

Semalam, King Sing dalam satu kenyataan memohon maaf dengan alasan langkah itu akan memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat lancar. – MalaysiaGazette