Lagu Tulus dicipta oleh Azmi Saat sekitar awal tahun 2008.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Azmi Saat mendendangkan lagu Tulus diciptanya sekitar awal tahun 2008 semasa sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia.

Ketika itu, Azmi telah mengambil peluang untuk mempelajari selok-belok teknik rakaman audio dengan menggunakan komputer melalui kawan-kawannya.

Daripada lirik, melodi, susunan muzik dan rakaman semuanya dilakukan sendiri. Lagu Tulus adalah projek pertama yang berjaya beliau siapkan hasil dari cubaannya tersebut.

Pada awal tahun 2020, Azmi telah dilamar oleh Valient Music sebagai artis rakaman. Dia digalakkan supaya terus mencipta lagu sendiri dan mendalami tentang produksi muzik.

Pantas Azmi memperdengarkan lagu Tulus kepada pihak Valient Music dan mereka bersetuju untuk menggunakan khidmat Ezra Kong bagi menerbitkan lagu tersebut.

“Ketika saya ditawarkan kontrak rakaman dari Valient Music, saya terus terima kerana mereka memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan karya-karya saya di samping peluang untuk bekerjasama dengan produser terkenal, Ezra Kong” kata Azmi.

Awal tahun 2020, Azmi telah dilamar oleh Valient Music sebagai  artis rakaman.

Tulus berkisar tentang kisah perasaan Azmi yang mula merasai hadirnya cinta yang tulus dari seseorang pada dirinya. Lagu Tulus khas untuk teman istimewanya yang sudah pun bergelar isteri sekarang sebagai tanda memohon kemaafan dan luahan rasa cintanya.

“Perasaan saya sangat teruja kerana ini adalah lagu pertama yang saya cipta sendiri. Lebih mengujakan saya lagi apabila lagu ini mendapat sentuhan dari produser terkenal Ezra Kong. Lagu ini saya tujukan khas untuk kekasih saya yang juga merupakan isteri saya kini,” ujar Azmi.

Melalui Tulus, Azmi juga berharap pendengar supaya sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun tidak mendapat balasan sebagaimana  yang diharapkan. Tegasnya, sifat tulus itu tidak pernah mengharapkan apa faedah dari setiap yang dilakukan.

Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia & Valient Music. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox,  iTunes, YouTube dan juga YouTube Music di pautan ini: Link fire link. – MalaysiaGazette