Friday, March 29, 2024
Home Nasional Belanjawan 2021 tak realistik, mana hendak dapat duit?

Belanjawan 2021 tak realistik, mana hendak dapat duit?

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Tanjung Aru, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 perlu mengambil kira unjuran yang realistik untuk mendapatkan wang dan memberi keutamaan kepada penyelesaian pelbagai masalah yang dihadapi rakyat terutama semasa penularan wabak Covid-19.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, belanjawan yang dibentangkan 11 hari lalu itu memiliki pelbagai aspek kelemahan yang boleh diperbaiki.

Contohnya kata Ahli Parlimen Pandan itu, perbelanjaan untuk pekerja barisan hadapan, tidak menyeluruh dan ada dalam kalangan mereka yang merungut proses memohon bayaran kerja lebih masa adalah rumit dan membebankan bukan meringankan.

“Selain itu, kita juga boleh menukarkan status mereka yang berstatus pekerja kontrak kepada pekerja tetap.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa dalam mereka melaksanakan tugas, keluarga dan anak-anak mereka seharusnya turut diberi perhatian daripada sudut insentif penjagaan anak, keselesaan belajar dan jaminan suasana pekerjaan yang selamat dan langkah-langkah untuk melindungi mereka terjamin.

“Langkah ini penting sebagai penghormatan dan pengiktirafan yang sedikit sebanyak dapat membantu memberi motivasi kepada mereka di samping mengurangkan kerisauan petugas-petugas mengenai keluarga mereka,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Wan Azizah menambah, Belanjawan 2021 mestilah membendung hakisan kemajuan ‘gender equality’ yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pandemik itu, kemunduran untuk wanita di Malaysia amat ketara dalam tiga aspek, termasuklah keselamatan daripada keganasan berdasarkan jantina, dan keselamatan dalam pekerjaan.
“Pertama sekali, pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan peningkatan risiko keganasan rumah tangga. Belanjawan 2021 mestilah mengutamakan perbelanjaan untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan perkhidmatan sokongan untuk mangsa kes keganasan berdasarkan gender.
“Misalnya, pihak kerajaan boleh menyediakan satu “inter-agency fund” dengan izin, untuk melatih responden pertama, termasuk pegawai polis, perubatan dan kebajikan untuk mengendalikan kes keganasan berdasarkan gender,” katanya lagi.
Selain itu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, amat malang apabila peruntukan untuk kementerian tersebut hanyalah RM2.6 bilion, kurang
satu peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2021.
“Perkara ini adalah amat tidak munasabah memandangkan Malaysia mempunyai 15.9 juta wanita bersamaan 48.5 peratus rakyat Malaysia, hampir separuh rakyat Malaysia adalah wanita.
“KPWKM pada hemat saya wajar dijadikan kementerian kanan sekiranya kita ingin menangani pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette