Saham Top Glove Corp Bhd. (Top Glove) susut sebanyak 55 sen atau 7.48 peratus kepada RM6.80 ketika dagangan dibuka pagi ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majikan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja khususnya warga asing.

Ia susulan peningkatan kes yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan berkata, majikan perlu memberikan pendidikan tentang amalan kebersihan kendiri di tempat kerja dan tempat tinggal.

Selain itu, katanya, majikan juga berperanan menyediakan penginapan yang kondusif untuk memastikan penjarakan fizikal selamat dapat diamalkan selain memantau amalan pencegahan jangkitan di kalangan pekerja.

Semua itu, jelas beliau menjadi faktor kepada penularan penyakit berjangkit.

“Memandangkan isu penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara adalah merupakan isu penting yang perlu ditangani, Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganinya.

“Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit Covid-19,” katanya.

Untuk makluman, daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk empat empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

Peningkatan kes mendadak di negeri-negeri Lembah Klang akhir-akhir ini adalah disebabkan oleh peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja.

Kata beliau, ini berikutan ketiga-tiga negeri ini adalah pusat tumpuan warga pekerja.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove di Meru Klang bermula tengah malam tadi.

Pelaksanaan PKPD dibuat selepas KKM mengesan 215 kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8.-MalaysiaGazette