Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan kenyataan tular di media sosial yang mengatakan “ahli perlu membayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar daripada KWSP” adalah tidak benar.

Bagi ahli yang memohon i-Sinar, amaun yang didahulukan daripada Akaun 1 akan diganti semula dengan caruman ahli pada masa hadapan.

Penggantian semula ini akan dilakukan yang mana 100% caruman baharu akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1, kata KWSP dalam kenyataan di sini.

Setelah jumlah amaun yang diakses daripada i-Sinar diganti semula sepenuhnya, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70% (Akaun 1) dan 30% (Akaun 2).

Amaun penggantian semula ini akan hanya diterima daripada caruman ahli pada masa hadapan dan bukannya secara bayaran tunai daripada ahli yang menggunakan kemudahan i-Sinar.

Berdasarkan kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh KWSP pada semalam, KWSP mengingatkan pihak media supaya menggunakan ayat yang tepat, iaitu “penggantian semula”.

Penggunaan ayat-ayat tidak tepat seperti “pembayaran balik”, “pembayaran semula”, “pembayaran kemudian” dan yang seumpama, telah mengakibatkan kekeliruan kepada ramai pihak, terutamanya ahli KWSP yang ingin memohon kemudahan iSinar ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast