Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak tiga kluster pandemik Covid-19 di negara ini diisytiharkan tamat pada hari ini, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, ia melibatkan Kluster Kencana yang melibatkan Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Terengganu.

Jelas beliau, seramai 685 individu  telah disaring yang mana 26 kes dikesan positif Covid-19 manakala 659 individu lagi adalah negatif dan tiada kes kematian dilaporkan bagi kluster ini.

“Kluster kedua adalah Bah Sintok melibatkan Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor di mana seramai 491 individu telah disaring di mana 50 kes dikesan positif Covid-19 manakala 441 individu lagi adalah negatif serta tiada kematian dilaporkan.

“Kluster Seri Anggerik pula melibatkan Selangor di mana seramai 96 individu telah disaring di mana 24 kes dikesan positif Covid-19 manakala 72 individu lagi adalah negatif serta tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kluster baharu telah dikenal pasti melibatkan tujuh negeri.

Jelas beliau, Kluster Sabaru melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah dan kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-33940 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 November lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

Katanya, saringan komuniti di kawasan setempat telah mengesan sebanyak 87 lagi kes positif dan kes-kes tersebut telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko  Rendah, Sepagaya.

“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sejumlah 1,627 individu telah disaring di mana 88 kes dikesan positif di mana 70 kes baharu); 22 individu dikesan negatif dan 1,517 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster Tomher pula melibatkan daerah Ranau di negeri Sabah dan kes-kes bagi kluster ini merupakan pekerja buruh binaan yang telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kumpulan berisiko tinggi sejak 9 November lalu.

“Kesemua kes tersebut telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Ranau dan sehingga pukul 12 tengah hari, sejumlah 276 individu telah disaring di mana 20 kes dikesan positif iaitu12 kes baharu, enam individu dikesan negatif dan 250 individu masih menunggu keputusan.,” katanya.

Dr Noor Hisham memberitahu, kluster lain ada Garden yang melibatkan daerah Tawau yang sudah menjangkiti 11 individu.

Tambahnya, kluster keempat ia dikesan di Putrajaya, Petaling dan Sepang yang dikenali sebagai Kluster Putra-18 dan sudah menjangkiti tujuh individu termasuk tiga kes baharu hari ini.

“Kluster kelima pula dikesan di daerah Cheras, Kepong dan Petaling yang dikenali sebagai Kluster Murni. Kluster ini sudah menjangkiti tujuh individu termasuk lima kes hari ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kluster keenam dikenali sebagai Kluster Pasir yang dikesan di daerah Timur Laut di Pulau Pinang yang kini sudah menjangkiti 11 individu.

“Kluster seterusnya dikenali sebagai Kluster Besi Demak yang dikesan di Kuching, Sarawak yang kini sudah menjangkiti lima individu dan kluster terakhir dikenali sebagai Kluster Parit Kassan dan ia dikesan di Tangkak, Johor dan Melaka Tengah di Melaka.

“Kluster ini sudah menjangkiti 11 individu termasuk kes baharu hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette