Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga kiri) semasa pelancaran platform servis Rider Warong pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Penjaja, Peniaga Kecil dan Pelancaran Platform Warong Rider di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membantu mendaftarkan kira-kira sejuta penjaja dan peniaga kecil diseluruh negara bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bilangan itu diperolehi menerusi Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

Katanya, jumlah sejuta daripada golongan penjaja dan peniaga kecil yang tidak berdaftar dengan persatuan akan menyukarkan penyaluran bantuan daripada kerajaan kepada mereka.

“Hasil perbincangan dengan persatuan kita mendapati kebanyakkan peniaga enggan berdaftar bagi mengelakkan dikenakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

“Selain itu kebimbangan tidak mendapat bantuan dari Kerajaan juga antara faktor penyumbang golongan peniaga dan penjaja berdaftar dengan persatuan,” katanya yang turut memberitahu sehingga Jun hingga ke kini lebih 3,000 peniaga telah didaftarkan.

Beliau berkata demikian pada majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2020 dan Pelancaran Platform Warong Rider Peringkat Kebangsaan, di kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau berkata, MEDAC melalui SME Corp bekerjasama dengan GPPPKMM melalui Program Micro Connector dalam memperkenalkan satu platform servis penghantaran Warong Rider yang boleh digunakan oleh semua golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

“Melalui kerjasama ini, rider di bawah platform Warong Rider akan dibekalkan dengan startup kit (beg penghantaran serta pakaian seragam) bernilai RM250 di mana 70 peratus daripada kos tersebut dibiayai oleh SME Corp melalui Program Micro Connector.

“Pembiayaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos kepada golongan belia B40 yang menyertai platform dan sekaligus membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan melalui perniagaan,” ujarnya.

Tambah Wan Junaidi lagi, Warong Rider itu bukan sahaja bertujuan membantu usahawan dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil dalam menggunakan perkhidmatan mereka, malah, menjana peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya belia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, semenjak tempoh PKP sehingga kini, SME Corp melalui Program Micro Connector telah memperuntukkan dana sebanyak RM875,000 kepada 5,000 rider yang bakal menawarkan perkhidmatan penghantaran mereka ke seluruh negara.

“Dibawah program TEKUN, Seramai 2,114 orang riders telah terima pembiayaan berjumlah RM17.5 juta di bawah Program TEKUN Mobilepreneur.

“Pembiayaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos kepada golongan belia B40 yang menyertai platform dan sekaligus membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan melalui perniagaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette