Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof bercakap pada sidang media pada Wawancara Belanjawan 2021 di Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mendapat peruntukan sebanyak RM3.8 bilion bagi projek-projek baharu dalam Belanjawan 2021.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia melibatkan projek pembinaan Jambatan Klang Ke-3 Fasa 2 di Selangor, meneruskan Projek Central Spine Road, menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu bagi laluan Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan.

Selain itu ia turut membabitkan menaik taraf Jalan Persekutuan menghubungkan Gerik, Perak ke Kupang, Lunas dan Kulim di Kedah, membina dan menaik taraf lingkaran Pulau Indah, Klang, Selangor Fasa 3 serta projek jalan pintasan Cameron Highlands, Pahang dengan penekanan langkah pemuliharaan alam sekitar.

“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM681.4 juta untuk kos penyelenggaraan bagi menambah baik kualiti Jalan Persekutuan dan bangunan di bawah kawalan KKR.

“Pada masa sama juga KKR turut menggalakkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan di mana tempoh permohonan galakan elaun cukai pelaburan bagi pengeluar komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025,” katanya pada sidang media Belanjawan 2021 KKR di sini hari ini.

Belanjawan 2021 menyaksikan KKR menerima peruntukan sebanyak RM7.348 bilion dengan bajet mengurus yang diluluskan berjumlah RM1.26 bilion berbanding RM1.792 bilion pada tahun 2020.

Bagi bajet pembangunan tahun 2021 yang diluluskan adalah sebanyak RM6.088 bilion berbanding RM6.240 bilion pada tahun lalu.

Fadillah berkata, Belanjawan 2021 mampu menjadi pemangkin pertumbuhan positif kerana industri sektor pembinaan melibatkan pelbagai projek yang dapat dinikmati oleh lebih ramai lapisan penggiat industri pembinaan. – MalaysiaGazette