Gambar Fail KWSP. foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2020

Saudara pengarang,

Awal malam 16 November lalu, selesai sahaja menunaikan solat Maghrib, saya terus melakukan sujud syukur.

Syukur saya kepada Allah SWT, terima kasih saya kepada kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana menghadirkan sinar ke dalam hidup saya dan mungkin ramai lagi yang lain.

Pengumuman skim i-Sinar umpama cahaya di hujung terowong, menghilangkan sementara resah saya yang diberhentikan kerja kira-kira empat bulan lalu kerana pandemik Covid-19 memaksa majikan mengecilkan operasi perniagaan.

Sepanjang empat bulan ini, saya bergantung pada sedikit wang pampasan, selain hasil daripada perniagaan kecil-kecilan untuk menanggung isteri  dan dua anak kecil kami.

Isteri juga tidak bekerja, sambil membantu saya berniaga, dia turut menjadi ejen menjual kerepek dan pelbagai jajan secara atas talian untuk menambah pendapatan.

Mujur dua anak tidak perlu ke sekolah rendah yang ditutup sehingga pertengahan Januari tahun depan, tidaklah terbeban sangat kehidupan kami dengan belanja makan dan kos berulang alik untuk sesi persekolahan.

Namun, saya dan isteri  tetap perlu berdisiplin dalam berbelanja kerana masih harus membayar sewa rumah dan ansuran pinjaman pembelian kereta walaupun jumlahnya hanya sedikit melebihi seribu ringgit.

Dalam usia 40 tahun kini, saya bersukur kerana masih ada kudrat dan tenaga untuk mencari rezeki, berniaga minuman di tepi jalan.

Saya percaya pada takdir tuhan, saya percaya soal ajal maut dan rezeki semua sudah ditentukan, cuma perlu berusaha dan jangan putus asa.

Saya  juga percaya kepada kerajaan yang ada, kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘Abah’ kita. Tidak mungkin seorang abah akan membiarkan anaknya hidup dalam kesempitan, susah dan sengsara

Kepercayaan saya berbalas dengan pengumuman oleh KWSP pada 16 November itu. Saya bersukur kerajaan peduli dan mendengar rintihan rakyat yang memerlukan.

Mulai Disember depan, saya dan ramai yang lain boleh membuat permohonan mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP dan insya-Allah pada Januari selepas itu, cerialah sedikit kehidupan kami.

Walaupun jumlah pendahuluan melalui skim i-Sinar yang akan diperolehi nanti tidaklah sebesar mana, saya tetap bersyukur.

Saya bersyukur kerana wang pendahuluan itu nanti sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami untuk beberapa bulan dan harapnya  berakhirlah juga pandemik Covid-19 ini sebelum tibanya masa itu.

Saya memang sangat bersyukur, memang sangat berterima kasih kepada ‘Abah’, kerajaan dan KWSP kerana menghadirkan sinar dalam hidup kami.

Zuki Jalil
Bandar Muadzam Shah