Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah menunjukkan dokumen permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tanah DBKL di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki memberikan jaminan akan menyiasat dakwaan penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada seorang Tan Sri di bawah harga pasaran.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, jaminan itu diberikan Azam ketika pertemuan hampir satu jam di Ibu Pejabat SPRM, pagi ini.

“Saya sudah bagi dokumen tambahan kepada KP di mana perkara ini akan dirujuk oleh Peguam Negara.

“Pihak-pihak terlibat akan dipanggil untuk soal siasat berkenaan isu tersebut.

“Ketua Pengarah berjanji akan panggil semua pihak berwajib. Ia melibatkan individu yang pernah terlibat dalam Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan sendiri dan pemaju yang terlibat” katanya kepada media, selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Azam Baki, hari ini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap selepas memohon pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tanah DBKL di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2020.

Isu ini dibangkitkan Ikhlas Oktober lalu apabila pihaknya bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada SPRM.

Ia bagi memohon badan siasatan rasuah itu untuk menyiasat seorang kenamaan bergelar Tan Sri didakwa terbabit salah laku rasuah.

IKHLAS serah bukti kepada SPRM siasat ‘Tan Sri’ beli tanah bawah harga pasaran

IKHLAS minta DBKL batal tanah yang dijual kepada ‘Tan Sri’

Mohd Ridzuan sebelum ini mendakwa berlaku pencabulan kuasa serta amalan rasuah dalam soal penjualan tanah DBKL kepada Tan Sri berkenaan yang dijual pada harga RM13 juta sahaja sedangkan harga pasaran bernilai RM80 juta.

Beliau berkata, pihaknya memohon SPRM menyiasat isu tanah di Jalan Kuchai Lama itu yang didakwa turut membabitkan bekas Datuk Bandar DBKL, beberapa pegawainya dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan.

Mohd Ridzuan berkata beliau amat berpuas hati dengan pertemuan yang dibuatnya keatas Azam Baki.

Beliau juga berkata Ikhlas akan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk membuat siasatan berhubung isu berkenaan.

Malah beberapa bukti-bukti baharu juga turut dikemukakan dalam pertemuan itu.

“Tan Sri ini bukan terlibat dalam satu isu sahaja, tanah seperti padang bola di Bandar Tun Razak, water front Taman Desa dia boleh dapat dan banyak lagi kawasan yang dia peroleh.

“Banyak tanah kawasan lapang ini dia seorang sahaja boleh dapat. Kenapa dia boleh dapat?

“Kenapa tidak yang tender terbuka. Ini yang kita persoal tadi,” soal beliau.

IKHLAS juga sebelum ini menuntut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa campur tangan dan membatalkan penjualan sebidang tanah milik DBKL itu. – MalaysiaGazette