Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Empat kluster baharu dikesan hari ini di empat negeri manakala enam kluster lagi diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster baharu itu direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

Beliau berkata, Kluster Kapas BJ dikesan di Hulu Langat membabitkan kes indeks seorang pekerja kilang yang didapati positif selepas saringan bergejala pada 28 Oktober lalu.

Jelas beliau, sehingga hari ini, sejumlah 210 individu sudah disaring dan 76 kes didapati positif dalam kluster itu.

“Kluster Prestij pula membabitkan pekerja sebuah syarikat pembersihan di Lembah Pantai dan Titiwangsa di Kuala Lumpur. Sehingga hari ini, sejumlah 37 individu sudah disaring dan 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Bagi Kluster Bah Bercham yang dikesan di Kinta, Perak membabitkan kes indeks yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah pada 13 November lalu.

“Sehingga 19 November 2020, sejumlah 137 individu sudah disaring dan lima kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. Semua kes dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya dalam satu kenyataan harian di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, kluster keempat iaitu Kluster Kiambang, melibatkan daerah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor.

Beliau berkata, kes indeks kluster itu disahkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 16 November lalu dan sejumlah 131 individu sudah disaring setakat hari ini dengan sembilan daripada mereka dikesan positif dalam kluster ini.

Ujarnya, semua kes dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

“Sehingga 19 November 2020, terdapat sebanyak 319 kluster dilaporkan. Pada hari ini, terdapat empat kluster baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 165 kluster.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes dan kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (245 kes), Kluster Penjara Sandakan (215 kes), dan Kluster Kapas BJ (55 kes).

“Sebanyak enam kluster sudah tamat iaitu Kluster Umboo, Kluster Bah Mutiara, Kluster Khazanah, Kluster Jalan Pantai, Kluster Bah Bangat dan Kluster Bah Kasturi, menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 154 kluster,” katanya. – MalaysiaGazette