Bate kini muncul dengan single ketiga iaitu Langgar.

KUALA LUMPUR – Sejak melancarkan lagu debut One I Love pada tahun 2018, DJ duo tempatan, Wai Hong dan Ethan Curzon yang dikenali sebagai Bate berjaya mengukir nama di arena muzik antarabangsa.

Lagu hasil kolaborasi dengan penyanyi rap dari Amerika Syarikat iaitu Radio3000 dan penyanyi dari Australia Blake Rose itu telah dimainkan lebih 15 juta kali di Spotify sejak dilancarkan.

Setelah dua tahun sepi tanpa karya terbaharu, pada Februari lalu Bate melancarkan single kedua mereka berjudul Casino Royale iaitu sebuah karya kolaborasi dengan penyanyi Simon Webbe dari kumpulan ikonik UK Blue.

Lagu yang mendapat sambutan hangat peminat ini telah dimainkan lebih 5 juta kali di Spotify, manakala video muzik rasminya pula telah mencapai lebih 700 ribu tontonan.

Selain daripada karya asal, DJ duo ini turut aktif mengeluarkan karya adunan semula (remix) untuk beberapa buah lagu tempatan dan antarabangsa seperti Can’t Forget Me nyanyian Fazura, Sunrise In The East nyanyian penyanyi UK Becky Hill dan terbaharu sekali, Passcode nyanyian Jannine Weigel penyanyi Thai-Jerman.

Caprice.

Kini, pasangan duo ini bakal melancarkan single ketiga mereka berjudul Langgar. Menerusi lagu ini buat pertama kalinya Bate berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi rap tempatan terdiri daripada Caprice, Zynakal, Shou Raion dan Carlolitto.

Langgar merupakan ciptaan bersama Wai Hong, Ethan Curzon, Caprice, Zyn Akal, Shou Raion dan Carlolitto. Lagu ini turut mendapat sentuhan penerbit tersohor Bryan B yang bertindak sebagai penerbit rakaman bersama Bate.

Langgar boleh disinonimkan dengan semangat untuk terus maju kehadapan walaupun  banyak rintangan dan cabaran yang perlu dihadapi dalam kehidupan seharian. Lagu yang mengetengahkan genre EDM ini bukan sahaja menyajikan muzik segar tapi rentak dan liriknya juga  mampu menyuntik semangat buat mereka yang mengejar cita-cita dan kejayaan dalam hidup.

Mengulas tentang lagu ini, Wai Hong dari Bate berkata, lagu Melayu pertama  itu merupakan salah satu lagu yang paling ‘catchy’ pernah mereka hasil setakat ini dan bekerja dengan artis-artis hebat Malaysia adalah suatu pengalaman yang luar biasa.

Menyifatkan lagu ini suatu impian yang menjadi nyata, Carlolitto pula berkata, dia merasa sangat beruntung kerana dapat bekerjasama dengan mereka yang membuat saya selesa untuk meluahkan perasaan saya melalui lagu ini.

“Saya sering mengimpikan kolaborasi seperti ini, walaupun pada awalnya kedengarannya mustahil. Tetapi saya percaya pada impian saya dan mengatur langkah ke arah itu sehingga ianya menjadi kenyataan.

“Sebagaimana maksud lagu ini, pentingnya untuk anda memulakan langkah pertama untuk mendapatkan apa sahaja yang anda mahukan dan terus berjuang walau apa pun cabaran yang anda hadapi.”

“Dalam proses pembikinan lagu ini, saya sebagai artis baru diberi peluang dan kepercayaan untuk berkolaborasi sebaris dengan artis-artis hebat di dalam industri seperti Caprice, Zynakal, Carlo dan kumpulan DJ duo, Bate.

Zynakal.

“Dalam percubaan saya menulis untuk lagu yang berkonsep seperti Langgar ini, saya telah melanggar syarat syarat saya sendiri dalam penulisan sesebuah lagu. Namun begitu, pada saya tak salah nak mencuba. Jadi ayuh kita raikan perbezaan dan jangan lupa untuk dengar Langgar!”, ulas Shou Raion pula yang menyifatkan lagu ini berbeza dengan karya-karyanya sebelum ini.

Berharap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada pendengar, Zyn Akal berarap lagu itu dapat mengingatkan pendengar bahawa tanpa usaha yang berterusan, impian mereka tak kemana.

“Tempuhilah apa saja rintangan untuk sampai ke tempat yang hendak dituju, itulah yang lagu ini cuba sampaikan,” katanya.

Single terbitan bersama Universal Music Malaysia dan Lion Music Group kini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. – MalaysiaGazette