Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) bependapat sudah tiba masa untuk satu semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan semasa krisis

Ia termasuklah ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara, kata pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

“Bagi tujuan ini, satu peruntukan yang khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan-tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ab Rashid, ERC kekal berpandangan ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah-kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.

Dalam pada itu, ERC berpendapat pengisytiharan proklamasi darurat, sekali gus menunda Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi adalah tepat.

Ab Rashid berkata, keputusan tersebut sekali gus boleh membantu mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 di Sabah dan juga di seluruh negara.

Selain itu, ERC juga menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan Perikatan Nasional memberi jaminan PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera “tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan” apabila pandemik Covid-19 berakhir.

“Ia membuktikan amalan pilihan raya demokrasi di negara ini akan terus terpelihara. Justeru itu, ERC yakin bahawa gelanggang pilihan raya yang adil akan disediakan apabila PRK membabitkan bahagian tersebut diadakan semula selepas Covid-19 berakhir,” katanya.

Menurut Ab Rashid, mengambil kira lima asas yang dikaitkan dengan keputusan membatal dan menunda PRK Batu Sapi, ERC yakin masa dan ruang yang ada ini akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya memperkemaskan segala mekanisme dan Prosedur Operasi Standard bagi memastikan PRK semasa bencana termasuk di bahagian Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah kelak dapat diuruskan dengan efektif. – MalaysiaGazette