Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menegaskan, beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjual aset bandaraya itu sepanjang lapan bulan Menteri Wilayah Persekutuan.

Beliau menyatakan rasa kecewa dan dukacita dengan tuduhan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai ke atasnya, konon telah menjual sebanyak 42 plot tanah DBKL sejak menjadi menteri seperti yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini.

“Saya ulang, sehingga saat ini, saya tak pernah terima apa-apa permohonan dari bandaraya (DBKL) untuk menjual mana-mana aset mereka.

“Saya kecewa fitnah pemimpin DAP ini menyerang Ahli Parlimen yang lain, sedangkan beliau mempunyai peluang berucap di Parlimen untuk saya berikan jawapan, tetapi dia pilih untuk membuat kenyataan di luar Parlimen.

“Justeru, saya arahkan peguam saya ambil tindakan undang-undang terhadap beliau mengikut proses sedia ada,” katanya dalam sidang media menjawab tuduhan Kok Wai di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen dari DAP itu bukan sahaja mendakwa 42 plot tanah telah terjual, sebaliknya juga menyoal apakah status penjualan tanah-tanah itu.

Annuar jawab Tan Kok Wai 11 pagi ini

Dakwa Kok Wai lagi, sejak Annuar memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, banyak tanah telah dijual kepada pihak swasta untuk dimajukan, dibangunkan sebagai projek perumahan dan campuran komersial.

Kok Wai mendakwa, daripada 42 plot tanah itu, empat daripadanya adalah dalam kawasan Parlimennya.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau memandang serius tuduhan itu dan menerima celaan masyarakat menerusi komentar Instagram dan Facebook pemimpin DAP berkenaan.

“Ini tuduhan yang sangat serius. Apabila saya membaca komentar (komen netizen) dalam Instagram dan Facebook, masyarakat telah melemparkan celaan dan tuduhan terhadap saya kerana termakan fitnah Ahli Parlimen Cheras ini.

“Saya tegaskan juga, DBKL tidak perlu jual mana-mana asetnya. Jika ada sebab kukuh melibatkan aset bandaraya, kita akan teliti dan masuk dalam mesyuarat untuk mendapatkan keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Saman kaw kaw. Jangan jadi macam Pas, mula-mula membara tunjuk tak takut cam Singa. Last-last, settle saman luar mahkahmah, macam tikus..hahaha.

Comments are closed.