KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) hari ini secara prinsip bersetuju mewujudkan kod tugas khas dan fungsi setiausaha politik (SUPOL) sesuai dengan objektif pelantikannya.

SUPOL akan membantu menguruskan hal ehwal berkaitan urusan politik sahaja, kata satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Cadangan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACCC) itu bagi meningkatkan integriti SUPOL.

“Oleh itu bagi melengkapkan peningkatan integriti dalam proses sokongan, arahan Perdana Menteri berkaitan kod tugas dan fungsi SUPOL itu dapat menyempurnakan arahan terdahulu yang telah dikeluarkan khusus untuk pegawai kerajaan,” kata kenyataan yang sama.

Selain itu, JKKMAR secara prinsip bersetuju supaya satu kajian komprehensif berkaitan Pengwujudan Peruntukan Undang Undang Baharu berkenaan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan secara bersama oleh Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan peruntukan Liabiliti Korporat.

“Kajian ini adalah bagi melihat mekanisme dan penanda aras bagi suatu organisasi komersial yang telah dipertuduh di bawah Sek 17A (4) Akta SPRM,” katanya.

“Mesyuarat hari ini bersetuju dengan dua syor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menambah baik tatacara dan kaedah penilaian tender melalui peningkatan integriti maklumat dalam memastikan keberkesanan penilaian tender iaitu mengadakan satu usahasama di antara JKR, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menggunakan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data agensi bagi tujuan penilaian tender dan menguatkuasakan syarat bon tender bagi tender tertentu kerajaan,” katanya.

JKKMAR secara prinsip bersetuju dengan syor Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk melaksanakan Program Authorized Economic Operator (AEO) di peringkat nasional.- MalaysiaGazette