KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Naisonal (PN) Parlimen Titiwangsa hari ini membuat laporan polis menuntut tindakan penangkapan dan ekstradisi terhadap Wee Meng Chee atau Namewee.

Menurut ketua penerangannya, Zuan Azmi, langkah itu perlu disegerakan berikutan tindakan biadab Namewee memuat naik poster filem bertajuk ‘Babi’ didakwa menghina orang Melayu di negara ini.

“Saya minta pihak polis mungkin boleh iringi dia dari luar negara, sekarang dia berada di Taiwan, kalau asyik duduk di sana, tak balik sini, tak bersemuka dengan kita, tidak bersemuka dengan orang Malaysia yang dia buat provokasi dan hinaan, macam mana kes ini nak selesai.

“Jadi saya minta PDRM agar buat tindakan ini (ekstradisi), ambil dia di Taiwan, selesai kes dan tolong siasat dia,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Beliau mengulas poster filem terbaru Namewee bertajuk ‘Babi’ yang dimuat naik di Facebook miliknya, pada 18 November lalu, memaparkan seorang lelaki sedang membuang sambil melihat dinding tandas yang diconteng dengan perkataan Babi dan Melayu Bodoh.

Menurut Namewee, filem itu telah disenarai pendek dalam Festival Filem Antarabangsa dan Festival Filem Thailand.

Tindakan biadab Namewee itu bukan kali pertama bahkan sebelum ini pengarah dan penerbit kontrovesri itu banyak kali menimbulkan provokasi, ketegangan kaum dan merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Ini termasuklah memuatnaik klip video sempena Tahun Baharu Cina bertajuk Like A Dog pada Februari 2018 yang memaparkan individu memakai topeng anjing dengan tarian lucah berlatar belakang bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Dalam perkembagan sama, Zuan membantah sekeras-kerasnya tindakan yang jelas mempunyai niat jahat membuat provokasi bangsa agar filemnya ditonton dan mendapat publisiti murahan.

“Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) harus menyekat kandungan ini di laman Youtube, Twitter dan Facebook miliknya.

“Kementerian Dalam Negeri dan PDRM perlu membuat penyiasatan terperinci terhadap Namewee kerana apa yang digambarkan melalui poster berkenaan berniat buruk dan boleh mencetuskan kemarahan kaum Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette