Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Terdapat permohonan untuk memendekkan tempoh kuarantin untuk penjawat awam yang pulang daripada Sabah namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak boleh meluluskannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, permohonan itu ditolak berdasarkan pemerhatian sebanyak tujuh peratus individu yang pulang daripada negeri itu dikesan positif Covid-19 selepas 13 hari dikuarantin.

Sehubungan itu jelas beliau, stituasi itu akan meningkatkan jangkitan sekiranya tempoh kuarantin dipendekkan.

“Kita lihat sekarang ini mereka yang pulang dari luar negara, 22 peratus jangkitan positif pada hari ke-13. Kita juga lihat data-data kita, mereka yang kembali daripada negeri Sabah, kita dapati hari pertama negatif tetapi hari-13 positif ialah tujuh peratus.

“Bererti kalau 100 orang, 7 orang akan positif pada hari ke-13. Itu sebabnya kita laksanakan kuarantin untuk tempoh 14 hari kita pastikan tujuh peratus positif pada hari ke-13 dapat kita kawal,” katanya ketika sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Jelas Noor Hisham situasi yang sama telah berlaku kepada individu yang dikenalpasti oleh KKM semasa mengesan kewujudan Kluster Bah Bercham yang dilaporkan semalam.

Beliau turut mendedahkan individu yang pulang dari Sabah dalam kluster berkenaan tidak melalui proses mendapatkan arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan tidak dipakaikan gelang pink setibanya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Hisham kemudian memberi jaminan akan memperketatkan tindakan arahan mengeluarkan HSO dan pemakaian gelang pink.

“Sekarang ini kita pastikan kita perketatkan kawalan walaupun ada laporan negatif mereka perlu dikeluarkan HSO dan dipakaikan gelang pink.

“Tapi kes semalam kita juga memberi laluan kalau mereka menjalankan ujian tersebut tiga hari sebelum bertolak dari negeri Sabah, jadi individu tersebut telah jalani ujian tersebut dan kes negatif apabila sampai di KLIA kita sahkan menerusi sistem memang individu itu memang menjalankan saringan.

“Sepatutnya bila negatif dia kena pergi ke kaunter untuk memakai gelang pink dan dikeluarkan HSo tetapi kita tidak tahu macam mana individu itu dia tidak pergi ke kaunter tersebut terus keluar.

“Jadi sekarang ini kita kena perketatkan dari segi dalam tindakan kita pastikan sesiapa walaupun ujian negatif mereka terpaksa memakai gelang… Mungkin disalah sangka masa itu,” jelas beliau.

Untuk rekod, Kluster Bah Bercham adalah melibatkan daerah Kinta di Perak.

Kes indeks kluster itu adalah yang ke ke-45,074 dikesan positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah pada 13 November 2020.

Sehingga 19 November 2020, sejumlah 137 individu telah disaring, di mana lima kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.-MalaysiaGazette