GENEVA – Eropah yang kini menjadi pusat pandemik Covid-19 berdepan dengan keadaan sukar dalam tempoh enam bulan lagi.

Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge yang memberi amaran itu berkata, benua tersebut merekodkan lebih 29,000 kes kematian Covid-19 minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, kes-kes jangkitan baharu merosot disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan.

Sementara itu, semasa sidang kemuncak secara maya, Presiden Pesuruhjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, blok itu akan meluluskan dua vaksin menjelang akhir tahun.

Kebanyakan negara Eropah melaksanakan semula peraturan ketat untuk membendung penularan wabak Covid-19 selepas gelombang kedua pandemik itu muncul pada bulan Oktober.

Setakat ini, Eropah merekodkan sebanyak 15,738, 179 kes jangkitan dan 354, 154 kematian yang disebabkan oleh koronavirus.

Hanya Amerika Syarikat yang melaporkan kes jangkitan lebih tinggi di seluruh wilayah, menurut data WHO.

Sebilangan besar jangkitan dan kematian tersebut dilaporkan berlaku di United Kingdom (UK), Rusia, Perancis, Sepanyol, Itali dan Jerman.

Di Eropah, UK mempunyai angka kematian tertinggi kepada 53,870, sementara Perancis mempunyai jumlah kes tertinggi sebanyak 2,115,717.

Dr Kluge berkata, Eropah menyumbang 28% kes global Covid-19 dan 26% kematian.

Beliau turut bimbang dengan situasi di Switzerland dan Perancis kerana unit rawatan rapi sudah mencecah kapasiti 95%.

‘”Eropah sekali lagi menjadi pusat wabak, bersama dengan Amerika Syarikat,” kata Kluge pada sidang media di Copenhagen, Denmark.

Katanya, angka terbaharu menunjukkan berlaku “satu kematian setiap 17 saat”. – MalaysiaGazette