Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Larangan penjualan arak di semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat tradisional bermula Oktober tahun depan diharap serba-sedikit dapat mengawal isu pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi.

Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Fadzli Hasan berkata, ketika ini, minuman keras amat mudah didapati kerana dijual di kedai runcit dan serbaneka tanpa kawalan.

Tambahnya, larangan tersebut tidak menjejaskan orang bukan Islam kerana mereka masih boleh membeli arak di premis yang dibenarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Orang bukan Islam masih lagi dibenarkan membeli minuman keras di premis yang diberikan lesen dan dibenarkan penjualannya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara terkawal dan sebenarnya tiada masalah bagi mereka untuk mendapatkannya cuma langkah yang diambil kali ini adalah sebagai langkah menghadkan jualan minuman keras secara terbuka serta menjaga kesihatan semua lapisan masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, garis panduan terbaharu itu juga boleh mengelakkan pekerja Muslim di kedai runcit dan serbaneka daripada terlibat dalam penjualan arak.

“Usaha ini wajar disokong diberikan pujian.

“Harapan MBM agar garis panduan ini turut diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette