Barang pakaian berjenama tiruan yang ditemui dalam sebuah rumah kediaman di Balakong hasil serbuan KPDNHEP kelmarin.foto kredit: KPDNHEP Putrajaya

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah rumah di Balakong, Kajang pada Rabu lalu yang dijadikan tempat menyimpan pakaian berjenama tiruan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pakaian tiruan itu dijual melalui transaksi dalam talian.

“Kami menjalankan operasi berkenaan hasil aduan wakil pemilik Cap Dagang berkaitan penjualan pakaian berjenama tiruan melalui transaksi dalam talian di tapak pasar dalam talian.

“Modus operandi peniaga ini ialah dengan mengiklankan pakaian berjenama tiruan dengan harga yang lebih murah dari pasaran bagi menarik perhatian pembeli.

“Pengadu berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran selepas membuat pesanan dalam talian yang mana alamat peniaga tersebut tertera pada bungkusan yang dikirimkan kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, rentetan dari urus niaga tersebut pengadu telah membuat perbandingan dengan pakaian jenama yang asli dan mengenalpasti pakaian yang dibeli adalah tiruan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan, pasukan serbuanyang disertai tujuh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya dan wakil pemilik cap dagang mendapati terdapat pelbagai jenis baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan disimpan di premis tersebut.

Antara pakaian berjenama tiruan yang ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Balakong oleh pasukan Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya kelmarin.

“Kesemua barang-barang tersebut telah dirampas dan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah diambil keterangan.

“Nilai keseluruhan barang rampasan itu adalah dianggarkan berjumlah RM67,750.00 dan kes disiasat dibawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barangbarang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” ujar beliau.

Iskandar berkata, jika individu atau pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar;

Katanya, jika ia bukan suatu pertubuhan perbadanan, pihak yang bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum lima tahun atau
kedua-duanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800, whatsapp 019-2794317 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri kemana–mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif,” katanya. – MalaysiaGazette