KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2020 di Malaysia (APEC 2020).

Duit syiling peringatan ini dilancarkan bersempena dengan Mesyuarat Ketua-ketua Negara APEC pada 20 November 2020.

Duit syiling peringatan ini ditempa dengan dua teknik permukaan yang berbeza dengan menggunakan teknologi laser canggih dan digital frosting untuk mencipta kesan pelangi.

Reka bentuk ini merupakan pengeluaran yang pertama seumpama itu, kata Bank Pusat itu.

Bahagian hadapan duit itu menampilkan reka bentuk artistik 21 imej manusia (human figures) pada bahagian tengah duit syiling melambangkan kerjasama 21 negara APEC untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan di rantau ini.

Perkataan ASIA-PACIFIC ECONOMIC COOPERATION 2020 dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala tema APEC 2020 iaitu “OPTIMISING HUMAN POTENTIAL TOWARDS A FUTURE OF SHARED PROSPERITY” dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.

Manakala bahagian belakang menampilkan eElemen hiasan corak songket bunga pecah lapan yang menjadi latar belakang bahagian ini melambangkan kekayaan budaya Malaysia.

Nilai muka duit syiling dipaparkan pada bahagian tengah, manakala logo rasmi APEC 2020 terletak di bahagian bawah.

Duit syiling peringatan itu terdiri perak berwarna pruf dan emas Nordic Brilliant Uncirculated

Duit syiling perak berwarna ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM253 sekeping. Sebanyak 1,000 keping telah ditempa.

Sementara duit syiling dalam kemasan tanpa kilat ini diperbuat terutamanya menggunakan tembaga dan berat setiap keping ialah 8.5 gram.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Sebanyak 15,000 keping telah ditempa.

Terdapat juga duit syiling peringatan set dua dalam satu untuk jualan.

Set ini mengandungi satu duit syiling perak pruf yang berwarna dan satu duit syiling emas Nordic pruf.

Setiap set dijual pada harga RM308 dan terdapat 750 set sahaja.

Bank Negara Malaysia berkata, bagi memberi peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap pembeli dihadkan membeli hanya satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna (pruf) dan maksimum sehingga lima duit syiling emas Nordic (B.U).

Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan akan dibuat bagi menentukan tempahan yang berjaya. Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan, pembayaran dan pengambilan, satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette