Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang masih cenderung untuk menekan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat mempunyai agenda politik peribadi.

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau menyifatkan sikap Ahli Parlimen itu, termasuk mereka yang menganggotai kerajaan, tidak mengutamakan nyawa rakyat ketika wabak Covid-19 menular dalam negara.

“Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah bahawa perlu mengetepikan agenda politik dan mengutamakan agenda selamatkan rakyat dari penderitaan akibat Covid-19, saya sokong itu.

“Jika masih lagi yang mengugut dan mengutamakan usul tidak percaya terhadap PM itu, ia menunjukkan satu perbuatan mengugut.

“Tiada yang lebih penting daripada nyawa rakyat yang sepatutnya diselamatkan. Cukuplah berpolitik, anda semua dipilih sebagai wakil rakyat, jadi tunjukkan kematangan itu dan utamakan nyawa rakyat dalam pandemik maut ini seperti dititahkan baginda,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Dominic mahu semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen bersatu bagi  menjayakan agenda kerajaan mengawal penularan Covid-19.

SEmentaar itu, Dominic turut membidas sikap pembangkang dan wakil rakyat kerajaan yang mengugut untuk tidak menyokong Belanjawan 2021.

Katanya Belanjawan 2021 yang dirangka kerajaan bersifat inklusif dan mencakupi pandangan dan suara rakyat termasuk ahli politik.

“Ini tidak menunjukkan etika profesional seorang ahli Parlimen, kenapa kenakan syarat untuk sokong ia diluluskan Rabu depan, ini seolah satu ugutan dan bukannya mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kita ada ruang untuk berbincang untuk membawa perubahan dan penambahbaikan secara meja bulat dan politik bukan platform untuk mengugut dan letak syarat untuk sokong meluluskan belanjawan,” ujarnya. – MalaysiaGazette