Pasukan keselamatan mengepung kawsan yang dibedil dengan roket di Kabul, Afghanistan. foto Agensi

KABUL – Beberapa roket membedil kawasan penempatan di ibu kota Afghanistan, mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan berpuluh-puluh orang mangsa.

Letupan itu berlaku berhampiran dengan kawasan diplomatik, mengeluarkan siren amaran dari kedutaan dan berlaku dua hari sebelum persidangan penderma besar untuk Afghanistan di Geneva.

Tariq Arian, jurucakap Kementerian Dalam Negeri mengesahkan tiga orang awam telah terbunuh dalam serangan itu dan 11 orang cedera.

Tetapi seorang pegawai kementerian kesihatan mengatakan lima mayat dan 21 yang cedera dibawa ke hospital akibat kejadian itu.

Arian berkata, “pengganas” memasang roket pada trak kecil dan melepaskannya, sambil menambah siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui bagaimana kenderaan itu memasuki bandar berkenaan.

Sebilangan penduduk merakam bedilan roket itu dan menyiarkannya di media sosial.

Beberapa gambar di Facebook menunjukkan kereta rosak dan bangunan berlubang.

Pemberontak Taliban, yang memerangi pemerintahan Kabul yang disokong pihak asing, menafikan terlibat dalam serangan itu.

Sejak rundingan damai antara pemerintah Afghanistan dan Taliban terhenti, serangan oleh Taliban dan kumpulan pelampau semakin meningkat, terutama di ibu kota yang menempatkan lebih daripada lima juta penduduk Afghanistan.

Awal bulan ini, beberapa lelaki bersenjata menyerbu kampus Universiti Kabul dan membunuh sekurang-kurangnya 35, kebanyakan mereka pelajar dan mencederakan lebih daripada 50 orang.

Namun serangan itu diakui dilakukan oleh Kumpulan IS. – MalaysiaGazette