Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada Taklimat Khas Isu Semasa Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Malaysia sedang menunggu keputusan data ujian klinikal fasa ketiga vaksin yang sedang dibangunkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa sebelum mendapatkannya untuk pesakit Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu penting untuk menjamin dan memastikan vaksin yang diperoleh berkesan dan selamat.

Katanya, setakat ini syarikat-syarikat farmaseutikal berkenaan belum menerbitkan hasil ujian klinikal vaksin fasa ketiga untuk membuktikan keberkesanan vaksin yang dibangunkan.

“Kita tidak kata vaksin itu tak berkesan tetapi kita belum dapat data ujian kinikal yang membuktikannya ia berkesan.

“Lagipun ketika ini hanya media yang melaporkan kononnya vaksin PFizer berkesan 90 hingga 95 peratus ke atas pesakit.

“Kita tidak boleh cepat membuat kesimpulan dan keputusan hanya berdasarkan laporan itu, kita mahu dapatkan data ujian klinikal yang rasmi terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut,” katanya dalam Taklimat Khas Isu Semasa Covid-19 bersama Media di Kementerian beliau.

Beliau mengulas laporan media di luar negara dan tempatan mengenai beberapa vaksin yang dakwa dalam peringkat akhir ujian.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk mendaftarkan pembelian sesuatu vaksin Covid-19 semata-mata berdasarkan laporan media yang belum terbukti keberkesanan vaksin tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, KKM perlu meneliti data ujian klinikal yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat farmasi yang membangunkan vaksin Covid-19.

“Kita lihat pada data vaksin bukannya syarikat mana yang cipta ubat itu dulu sebelum membeli daripada merekam,” jelasnya.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Bahagian Penyelidikan dan Sokongan Teknikal KKM, Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim yang turut terlibat dalam sesi taklimat khas itu menjelaskan, terdapat puluhan yarikat farmaseutikal terlibat dalam pembangunan vaksin Covid-19.

Katanya Jawatankuasa Dasar Vaksinasi dan pemilihan Vaksin di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin ditubuhkan bersama KKM dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan mempunyai 20 pakar dari kerajaan dan swasta untuk menilai dan memilih vaksin terbaik untuk negara.

Menurut beliau, analisis lebih mendalam perlu dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia sebelum membeli daripada pihak luar untuk digunakan di negara ini.

“Buat masa ini ada beberapa syarikat sudah melengkapkan fasa ketiga kajian klinikal tetapi mereka masih wajib mengemukakan kesemua hasil kertas kerja, data ujian berkaitan yang membabitkan lebih 1,000 muka surat untuk diteliti.

“Namun keputusan data yang dihantar ke Lembaga Pembangunan Makanan (FDA) Jumaat lalu hanyalah analisis bersifat interim dan vaksin Pfizer and Moderna belum berada di tahap yang diperlukan dan memutuskan untuk melakukan analisis interim selepas lebih 194 siri ujian untuk menentukan hasilnya.

“Daripada analisis itu, kita akan menilai sama ada vaksin itu efektif atau sebaliknya jika digunakan untuk pesakit kita.

“Tetapi perlu ingat bahawa analisa interim itu tidak hanya bersandarkan satu aspek sahaja, sebaliknya banyak lagi butiran lain yang perlu diteliti,” jelas beliau.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai kesemua dokumen dan keputusan sebelum merujuk ia kepada panel pakar yang dilantik untuk tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.