KUALA LUMPUR – Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) menafikan khabar angin kononnya Royal Pahang Durian Group mengalami masalah kewangan dan terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemegang saham.

Pengerusinya. Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah dakwaan yang disebar melalui platform mesej media sosial baru-baru ini tidak benar sama sekali.

Menurutnya, Royal Pahang Durian Group mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan komited dengan usaha sama yang dijalinkan dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan kerajaan negeri Pahang demi pertumbuhan industri durian negara.Susulan itu, kata beliau, satu laporan polis juga telah dibuat berkaitan perkara ini.

Bercanggah dengan dakwaan sesetengah pihak, rakan usaha sama RPDR iaitu PKPP, merupakan sebuah perbadanan milik kerajaan negeri Pahang dan ini menjadikan RPDR PKPP sebuah usaha sama dengan kerajaan negeri Pahang.

”Dengan ini, tidak patut ada sebarang keraguan berkaitan kompetensi pihak pengurusan RPDR berdasarkan prestasi pengurusan ladang durian mereka di Pahang sejak 2017 yang dijangka membuahkan hasil pada 2022.

”Sebagai tambahan, kilang pemprosesan durian kami akan dibina mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan dengan perancangan yang sempurna serta mematuhi piawaian HACCP yang diterima secara global.

”Pihak kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan yang berkaitan dan kerja pembinaan akan dimulakan sebaik mendapat kelulusan,” tambah beliau sambil menyatakan keyakinan bahawa pihak pengurusan akan sentiasa menjalankan tugas mereka secara profesional. – MalaysiaGazette