Sebahagian peserta sedang ditemubual secara dalam talian pada Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 (Job Fair) di Dewan MDKS Saujana Utama, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2020.

PAYA JARAS – Program ‘Jelajah Selangor Bekerja 2020’ inisiatif kerajaan negeri sejak dua hari di Gombak dan Paya Jaras berjaya menawarkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang bagi penduduk.

Ia dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan yang juga diterajui oleh Exconya, Mohd Khairuddin Othman.

Menurut Pengarah Program Jelajah Selangor Bekerja 2020, Muhammad Shafiy Mazlan, ia merupakan salah satu inisiatif demi menangani kadar pengangguran serta kehilangan kerja ketika pasca pandemik Covid-19 di negara ini.

Katanya, sebanyak 37 syarikat termasuk yang memiliki nama besar telah menawarkan pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada warga Selangor pada masa ini.

Temubual bersama Pengarah Projek Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 (Job Fair), Muhammad Syafiy Mazlan di Dewan MDKS Saujana Utama, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2020.

“Kita telah mendapat sekurang-kurangnya 10,000 permohonan kerana program ini terpaksa diadakan dalam skala kecil berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

“Kita tidak dapat benarkan semua hadir berpusu-pusu sebaliknya hanya melalui invatation selepas permohonan dibuat, kita buat temu duga virtual dan fizikal dengan had kehadiran.

“Kita kena ikut semua garis panduan oleh Majlis Keselematan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Selangor Task Force Covid-19 (STFC), kita perlu hadkan pergerakan serta kehadiran.

“Namun apa yang saya boleh sahkan kepada anda, sambutan sememangnya menggalakan kerana kita tahu keadaan pada masa ini yang yang sedang derita.

“Kerajaan negeri akan terus mengadakan lebih banyak program pada masa-masa akan datang mengikut kesesuain dan keadaan semasa kelak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Hari ini program Selangor Bekerja 2020 yang di adakan di Dewan MDKS Paya Jaras sejak jam 8 pagi tadi dan dijangka berakhir sekitar 4 petang diadakan dengan mematuhi semua SOP Covid-19 seperti penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka.

Para permohon yang hadir juga kelihatan kemas dengan mematuhi  kod pemakaian yang betul serta proses temuduga dilakukan secara fizikal serta secara virtual.

Rata-rata yang hadir juga kelihatan graduan muda yang tamat pengajian serta sekumpulan kecil yang telah kehilangan tas pelbagai sebab. – MalaysiaGazette