Seorang pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi awam ditahan polis selepas melepaskan tembakan di kawasan bendang dekat Kampung Tasek Berangan dekat Repek, Pasir Mas, petang semalam.

KOTA BHARU – Seorang pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi awam ditahan polis selepas melepaskan tembakan di kawasan bendang dekat Kampung Tasek Berangan dekat Repek, Pasir Mas, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) Supt Muhammad Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira 3 petang ketika sepasukan anggota PGA8 menjalankan rondaan bermotosikal.

Katanya ketika rondaan itu anggotanya ternampak sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di kawasan bendang sawah padi.

“Pasukan rondaan telah melihat seorang lelaki turun dari kenderaan dengan menggalas senapang dan terus melepaskan tembakan ke arah sawah padi.

“Sebaik melihat keadaan itu, anggota terus menghampiri suspek sambil memperkenalkan diri sebagai anggota PGA8 sebelum merampas senapang yang ada bersama lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad berkata hasil pemeriksaan mendapati senapang itu adalah jenis ‘pump gun’ bertulis ‘Escort’ buatan Turki dan pada bahagian senapang itu ditemukan dua butir peluru hidup.

Katanya antara barangan yang dirampas sembilan peluru hidup jenis SG 12 Bore, lima butir peluru Pellets, 158 ball bearing dan sebuah Mitsubishi Pajero.

Lelaki berusia 40 tahun itu dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“Dalam kes ini senapang tersebut dipercayai diseludup melalui pangkalan haram dan suspek juga tidak mempunyai lesen dan permit ke atas senapang tersebut,” katanya.

Jelasnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (AKTA 206) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan dan kes itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda tidak melebihi RM 2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.- BERNAMA