Projek itu yang dibangunkan Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd, anak syarikat MRT Corp, terdiri daripada laluan kereta api ringan sejauh 4 kilometer yang mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam pada waktu puncak.-Gambar ihsan FB Sultan Johor.

KUALA LUMPUR – Kira-kira RM800 juta daripada keseluruhan kos pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang dilancarkan secara rasmi hari ini diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Mohd Zarif Mohd Hashim berkata, kos projek RM3.7 bilion itu hanya untuk bahagian Malaysia dan termasuk kos pengambilalihan tanah.

Mohd. Zarif bagaimanapun tidak menjangka kemajuan projek akan dihalang penularan Covid-19 kerana MRT Corp mempunyai pengalaman sama mengendalikan pembinaan berterusan MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).

“Kami sudah menetapkan SOP. Kami akan memastikan aktiviti pembinaan dan ekonomi tidak terhenti ketika pandemik,” katanya selepas pelancaran RTS secara maya oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena ulang tahun hari keputeraan baginda di Johor Bahru hari ini.

Selain itu, menurut Mohd. Zharif, struktur sivil projek itu akan mengambil 4 tahun untuk dibina.

Menurutya, tambahan dua tahun diperlukan untuk memasang sistem dan menguji operasinya.

Projek itu juga katanya akan mewujudkan 1,500 pekerjaan dan menyokong tambahan 15,000 pekerjaan.

Projek itu yang dibangunkan Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd, anak syarikat MRT Corp, terdiri daripada laluan kereta api ringan sejauh 4 kilometer yang mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam pada waktu puncak.

Ia dapat mengurangkan masa perjalanan antara Malaysia dan Singapura kepada hanya 5 minit sebaik saja mula beroperasi menjelang akhir 2026.

RTS akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura.

Seramai 150,000 penumpang harian akan merangkumi hampir separuh daripada jumlah penumpang harian antara dua negara.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula berkata, RTS dijangka disiapkan menjelang 2026.

Ia, katanya, dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi Johor termasuk menaikkan sektor pelancongan dan hartanah.- MalaysiaGazette