Presiden Turki, Tayyip Erdogan. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2019

ISTANBUL – Presiden Turki, Tayyip Erdogan menolak gesaan sekutu rapatnya yang meminta dibebaskan seorang pemimpin politik pembangkang Kurdish dan seorang dermawan daripada penjara.

Para aktivis hak asasi manusia, kuasa Barat dan beberapa parti pembangkang menggesa pembebasan Selahattin Demirtas dan Osman Kavala yang mana kedua-duanya ditahan berikutan ccbaan rampasan kuasa pada 2016.

Senada dengan aktivis itu ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc, lapor Reuters.

“Walaupun kami telah bekerjasama sebelum ini, tiada komen peribadi boleh dikaitkan dengan presiden, kerajaan dan parti kami,” kata Erdogan ketika berucap di hadapan ahli parti.

Demirtas, bekas Ketua Peoples’ Democratic Party (HDP) dan salah seorang ahli politik terkenal Turki menghadapi beberapa dakwaan, termasuk satu pertuduhan keganasan yang dikaitkan dengan bantahan ganas terhadap tentera Turki semasa pengepungan dilakukan oleh militan Islamic State di bandar Kobani, Syria pada 2014 dan 2015.

Beliau menafikan semua dakwaan itu.

Pada Februari Kavala dibebaskan daripada tuduhan berkaitan demonstrasi jalanan 2013 yang mengancam kedudukan Erdogan ketika itu tetapi dia ditahan semula pada hari yang sama atas dakwaan berkaitan melakukan rampasan kuasa yang gagal pada 2016 yang mana beliau menafikan sebarang pembabitan.

Erdogan berkata bahawa ‘Tayyip Erdogan atau sekutunya tidak akan mempertahankan mereka yang menyebabkan kematian beribu-ribu orang kita dan orang yang bertanggungjawab terhadap Kobani’.

Erdogan berkata, beliau tidak akan mempertahankan Kavala yang digelarnya sebagai penaja bantahan pada 2013.

Pada bulan ini, Erdogan berjanji Parlimen akan memberi keutamaan terhadap perbaharuan undang-undang pada tahun depan. – MalaysiaGazette