Dr. Nazri Khan

KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat semula dalam lingkungan positif antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada suku keempat 2020 berikutan peningkatan kecil serta meluas membabitkan semua sektor, terutamanya pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan juga menyifatkan Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran tahun penuh 2020 iaitu -3.5 peratus hingga -5.5 peratus berdasarkan prestasi suku ketiga 2020 pada – 2.7 peratus iaitu penguncupan lebih rendah berbanding kebanyakan jangkaan ahli ekonomi susulan -17.1 peratus pada suku kedua 2020.

“Walaupun kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya membabitkan pandemik Covid-19, terdapat tanda-tanda bahawa impak negatif penularan virus itu tidaklah sebagaimana dijangkakan ekoran pemulihan produktiviti di tengah-tengah pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak pertengahan Oktober lepas.

“Sehubungan itu, kami mengunjurkan KDNK bagi tahun penuh 2020 akan mencecah -4 peratus, sejajar dengan unjuran -3.5 hingga -5.5 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya kepada Bernama.

Beliau yang lebih dikenali sebagai DDNK, turut menyasarkan pertumbuhan KDNK itu pulih kepada 6.5 peratus dengan sebahagian besar daripadanya didorong oleh Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion yang turut membabitkan peruntukan pembangunan terbesar berjumlah RM69.0 bilion.

“Belanjawan 2021 memberi penekanan penting terhadap projek-projek dengan kesan atau impak pengganda tinggi seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Lebuh Raya Pan Borneo yang dijangkakan menyuntik impak positif seawal suku pertama 2021,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kadar pengangguran yang bertambah baik – berkurangan kepada 4.6 peratus pada September 2020 daripada paras tinggi 5.3 peratus pada Mei 2020, juga dapat membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Bagi saya, pasaran tenaga kerja ini adalah teras bagi memacu permintaan domestik dan kerajaan sepatutnya memberi tumpuan terhadap persekitaran pekerjaan di negara ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di masa depan,” katanya.

Beliau juga optimis bahawa kadar pengangguran di Malaysia dapat dikurangkan ke paras sebelum Covid-19 iaitu 3.0 peratus dalam masa dua tahun akan datang berikutan penggunaan vaksin Covid19 bermula tahun depan selain pelbagai pakej rangsangan bernilai RM305 bilion yang bertujuan mengurangkan impak negatif pandemik itu.

Mengulas inisiatif moratorium, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah yang memadai di bawah pelan rangsangan bagi memastikan peningkatan kecil pendapatan boleh guna rakyat.

“Pada pandangan saya, tindakan memperkenalkan semula moratorium menyeluruh itu adalah pilihan terbaik dan bagus untuk pengguna selain memberi impak meluas terhadap sebahagian besar sektor seperti automotif dan hartanah walaupun keadaan sebaliknya untuk pihak bank.

“Saya percaya kerajaan telah melakukan lebih daripada mencukupi seperti inisiatif bantuan tunai untuk golongan B40 dan M40 dan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menerusi program i-Lestari. Selain itu, langkah berkaitan cukai untuk perniagaan juga memadai dalam usaha meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat,” katanya.

Selain menggalas tugas sebagai CEO Berjaya Interpacific Asset Management, beliau juga merupakan Pengurus Dana Unit Amanah Dana Safi yang berada pada kedudukan pertama dari segi pulangan untuk Kategori Unit Amanah Syariah bagi tempoh Januari hingga November 2020 sebagaimana dinyatakan oleh Lippers, Morning Star dan Fund Supermart. – MalaysiaGazette