Donald Trump. foto AP

WASHINGTON – Penyokong Donald Trump menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) itu supaya menerima kekalahannya ke atas Joe Biden.

Bekas Gabenor New Jersey, Chris Christie berkata, tindakan yang diambil oleh pasukan undang-undang Trump ‘memalukan negara’.

Trump tidak mahu menerima kekalahannya dalam pilihan raya yang diadakan dengan mendakwa berlaku penyelewengan.

Sebelum ini ramai dalam kalangan Repulikan menyokong usaha terhadap tindakan undang-undang yang diambil tetapi jumlahnya kecil dan kini semakin berkurangan.

Trump sekali lagi menerima tamparan hebat selepas seorang hakim menggugurkan tindakan undang-undang yang dibuat oleh Trump untuk membatalkan jutaan undi pos Pennsylvania.

Hakim Matthew Brann yang membuat keputusan itu berkata, dakwaan yang dibuat itu tanpa merit dan merupakan tuduhan spekulatif.

Keputusan ini membuka jalan bagi Pennsylvania untuk mengesahkan kemenangan Biden pada hari Isnin.

Biden telah memenangi majoriti lebih 80,000 di negeri ini.

Biden dijangka mendapat 306 undi untuk mengalahkan Trump – melepasi 270 undi yang diperlukan untuk memenangi Pilihan Raya Presiden AS.

Bercakap kepada program ABC This Week pada hari Ahad, Christie berkata: “Sejujurnya, tingkah laku pasukan undang-undang presiden telah memalukan negara”.

Beliau turut mendakwa pasukan Trump sering membincangkan penipuan pilihan raya “di luar mahkamah, tetapi ketika mereka masuk ke dalam mahkamah, mereka tidak mengaku melakukan penipuan dan mereka tidak membantah penipuan”.

“Saya telah menjadi penyokong presiden. Saya memilihnya dua kali. Tetapi pilihan raya mempunyai akibat dan kita tidak boleh terus bertindak seolah-olah sesuatu berlaku di sini, tidak terjadi”.

Christie adalah gabenor pertama yang menyokong Trump sebagai calon presiden pada tahun 2016.

Beliau juga membantu membuat persiapan untuk Presiden AS berdebat dengan Biden awal tahun ini. – MalaysiaGazette