Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Restoran, kedai serbaneka, kedai runcit, stesen minyak dan semua aktiviti perniagaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam berkuatkuasa segera.

Menteri Kanan Kluster Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut diambil selepas mendengar keluhan peniaga yang terpaksa memendekkan waktu operasi bagi mematuhi peraturan PKPB.

Selain itu katanya, kerajaan juga mendengar kesukaran orang ramai untuk membeli makanan atau barangan keperluan kerana semua kedai terpaksa ditutup pada jam 10 malam.

“Kita mendengar aduan daripada peniaga, persatuan peniaga dan sebagainya malah kami juga mendengar keluharan orang ramai mengenai SOP yang meminta waktu operasi kedai sehingga jam 10 malam sahaja.

“Ini kerana ramai yang keluar pada waktu malam untuk makan dan sebagainya. Orang Islam contohnya, mereka akan keluar selepas solat Isyak sekitar jam 9 malam tetapi kedai ditutup jam 10, ini akan menyukarkan orang ramai.

“Maka, dalam mesyuarat hari ini, kami bersetuju supaya restoran dan semua aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam berkuatkuasa segera.

“Jika mereka boleh mula esok, maka esoklah,” katanya semasa sidang media hari ini. -MalaysiaGazette