Kesemua PATI dihantar ke Balai Polis Kalabakan, Tawau, Sabah.

KUALA LUMPUR – Seramai 24 orang pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang wanita dan seorang pemastautin tetap ditahan dalam Op Benteng kelmarin oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) berkata, kesemua PATI itu ditahan dalam operasi di kawasan Serudong, Tawau, Sabah antara jam 9 malam hingga 9.30 malam.

Tangkapan pertama membabitkan seorang pemandu berstatus pemastautin tetap yang memandu sebuah lori bersama enam orang PATI yang hendak balik ke Kampung di Indonesia.

Selang 15 minit kemudian, pasukan tentera berjaya menahan 16 PATI yang menaiki sebuah lori yang tiada no pendaftaran melalui jalan yang sama untuk balik ke Indonesia.

Selepas 15 minit lagi, dua PATI menaiki sebuah motorsikal melalui lokasi operasi telah berjaya ditangkap dengan tujuan yang sama untuk baik ke kampung, Indonesia.

”Hasil siasatan, kesemua PATI tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah dan bekerja di kawasan berhampiran,” katanya.

Nilai kesemua tangkapan dan barang rampasan dianggarkan mencecah hampir RM39,820.00.

Antara barang-barang yang dibawa ialah pakaian dan barangan peribadi, 50kg gula, sebuah motorsikal dan 2 buah lori.

Kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette