Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sidang media khas di Menara Berkembar Bank Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dapat menyumbang kepada 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, sasaran itu tidak mustahil disebabkan sektor itu telah menyumbang sebanyak 38 peratus daripada peratusan KDNK negara sebelum ini biar pun Covid-19 telah menyebabkan kemerosotan ekonomi di seluruh dunia.

“Sumbangan kepada KDNK ketika ini adalah 38 peratus. Hasrat kita mengikut DKN 2030 di mana 10 tahun daripada sekarang agar sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mampu menyumbang 50 peratus KDNK negara.

“Kalau dilihat daripada sudut koperasi yang mempunyai ahli lebih enam juta dan jumlah koperasi sebanyak 14,625 itu menyumbang kepada RM40 bilion kepada ketika ini.

“Justeru itu, kita mengambil langkah mengtransformasikan koperasi atas dasar besar untuk meraih kemewahan bersama,” katanya dalam sidang media khas di Menara Berkembar Bank Rakyat hari ini.

Katanya, mesyuarat Kabinet pada pertengahan November telah meluluskan dasar supaya koperasi itu dalam menjana pendapatan daripada RM40 bilion kepada RM100 bilion pada akhir DKN 2030.

“Apa dirancang dalam belanjawan yang dibentangkan ini adalah kesinambungan kepada semua perancangan-perancangan daripada 2019 iaitu Dasar Keusahawanan dan Transformasi Koperasi yang kita lakukan pada 2020.

“Malah perancangan untuk memberi kelestarian dan kesinambungan kepada prestasi PKS dan koperasi yang telah dilaksanakan dibawah Program Prihatin 1 dan 2 serta Penjana,” katanya.

Jelasnya, sektor PKS antaranya yang menjalankan perniagaan kecil, sederhana dan mikro adalah golongan yang terjejas teruk dengan penularan pandemik Covid-19.

“Mereka ini memerlukan bantuan segera dan berterusan daripada kerajaan khususnya untuk meneruskan perancangan yang dilihat semasa pelaksanaan PRIHATIN 1 dan 2. dan juga PENJANA.

“Kementerian saya juga diarahkan untuk membuat kajian kearah itu dan akan dibentangkan pihak kementerian ini kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara,” katanya lagi.

Tahun lalu, DKN 2030 yang dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah merupakan dasar pertama di Malaysia melibatkan penggubalan secara komprehensif dan terkhusus dalam bidang keusahawanan.

DKN 2030 merupakan satu dokumen strategik jangka panjang dalam penetapan hala tuju keusahawanan negara tersebut menggariskan objektif, sasaran, strategi serta inisiatif pembangunan ekosistem keusahawanan merentasi semua bidang industri dan merangkumi setiap peringkat usahawan dan masyarakat tempatan.

Dalam usaha merancakkan PKS di luar bandar, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan memperluas capaian perkhidmatan e-hailing itu menerusi Warong Rider.

Beliau menggalakkan supaya peniaga yang masih belum mendaftar supaya berbuat demikian bagi ‘melayakkan’ mereka menggunakan perkhidmatan berkenaan.

“Kerajaan telah membuat dasar melaksanakan digitalisasi. MEDAC terpaksa mengambil tindakan khusus untuk bantu Pak Amir daftar perniagaan cucurnya dalam talian.

“Bukan sekadar muat naik gambar dalam talian tetapi bagaimana makanan itu boleh dipesan dalam talian serta dihantar oleh rider.

“Kita akan melihat supaya tiap-tiap kawasan Parlimen ada perkhidmatan ini. kita akan buat kajian kepadatan dan akan bincang dengan SME Corp untuk perluaskan perkhidmatan berkenaan di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut menolak dakwaan 36,000 perniagaan ditutup ekoran pandemik global terbabit.

Jelas beliau, kesemua perniagaan itu telah berhijrah ke bidang lain dan berubah demografi perniagaan mereka.

“Kita ada 82,000 lagi syarikat yang ditubuh, bukan semua yang ditutup ini oleh kerana tidak mahu menjalankan perniagaan lagi tetapi mereka nak berpindah ke perniagaan lain.

“Mereka sudah tidak lagi mendapat bantuan daripada pihak kerajaan, tetapi banyak juga yang masuk balik ke dalam pendaftaran baharu. Bukan semuanya suram dan gulung tikar sebabnya ada pembukaan jenis perniagaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) yang mendakwa 36,000 syarikat ditutup sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu. – MalaysiaGazette