Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)  maut manakala seorang lagi rakan setugasnya cedera parah ditembak semasa bertugas di Pos Kawalan Sempadan Malaysia -Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku pukul 3.05 pagi dan punca kejadian belum diumumkan.

Difahamkan, mangsa yang merupakan anggota Batalion 3 PGA terlibat dalam penugasan kawalan keselamatan Op Benteng Wawasan Kedah Perlis di lokasi A3, kawasan TS9 Padang Besar Perlis semasa kejadian.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Koperal Komunikasi Kompeni A, Batalion 3 PGA Baharuddun Ramli, 54, dilaporkan telah meninggal dunia.

Tempat tinggal beliau beralamat di Kompleks Perumahan Bn3, Bidor Perak dan berasal dari Kampung Sampo, Bahau, Negeri Sembilan mempunyai isteri dan tiga anak.

Anak sulung mangsa difahamkan berkhidmat sebagai pegawai Penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor dan dua anak perempuannya tidak bekerja.

Manakala mangsa kedua yang bertugas bersama Baharuddin iaitu Koperal Norihan A/L Tari, 39, turut cedera parah dalam kejadian itu dan sedang dirawat di Hospital Tengku Fauziah, Kangar Perlis.

Beliau mempunyai seorang isteri dan dua anak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador difahamkan sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian dan juga untuk melawat dan melihat keadaan mangsa.-MalaysiaGazette