Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan dan Bank Negara diminta supaya memanjangkan semula had tempoh bayaran pinjaman termasuk pembiayaan peribadi daripada 10 tahun kepada 20 tahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, keputusan Bank Negara pada tahun 2013 memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun tidak lagi relevan.

“Langkah pemendekan tempoh pembiayaan dan pinjaman tersebut mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam baru menjadi lebih besar sekali gus mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, CUEPACS berpendapat, langkah Bank Negara sekarang memberi kesan kepada pendapatan boleh guna rakyat yang mahu melakukan pinjaman apatah lagi dengan situasi harga rumah yang meningkat begitu drastik pada waktu tersebut.

Justeru itu pihaknya berpandangan langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan wajar dilaksanakan semula dengan kadar segera ketika rakyat sedang terkesan susulan penularan pandemik Covid-19 kerana jumlah bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih rendah.

Menurut beliau, bayaran semula pinjaman yang rendah membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan.

“Mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi untuk berniaga juga tidak begitu bimbang untuk melakukan pinjaman kerana bayaran bulanan pinjaman tersebut akan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

“Mana-mana rakyat yang terjejas pendapatan mereka juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang lebih mampu.

“Penstrukturan semula pinjaman boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku.

“Secara keseluruhannya langkah ini dijangka merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat lebih bertambah serta mengurangkan tekanan hidup rakyat.

“Dalam masa yang sama operasi peniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara boleh berkembang semula,” tegasnya.-MalaysiaGazette