Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd hari ini melancarkan Pembiayaan Mikro BangKIT dengan dana permulaan sebanyak RM2 juta, kemudahan yang dibiayai daripada sumbangan yang dibuat oleh syarikat dan orang ramai untuk membantu usahawan mikro yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan perbankan.

Ditawarkan di bawah kontrak al-Qard (tanpa faedah), Pembiayaan Mikro BangKIT menyediakan pinjaman serendah RM500 hingga RM3,000 bagi perniagaan baharu dan RM3,000 hingga RM20,000 bagi pengembangan perniagaan dengan tempoh bayaran balik antara enam bulan dan tiga tahun.

“Sebagai permulaan, RM2 juta diperuntukkan di bawah kemudahan itu, yang menyasarkan lebih 200 usahawan mikro akan mendapat manfaat daripada Pembiayaan Mikro BangKIT, tertakluk kepada kesediaan dana,” kata Pengerusi Bank Islam Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata, pengenalan Pembiayaan Mikro BangKIT, di bawah instrumen sedekah, untuk mencapai matlamat membantu segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan perbankan yang terpilih untuk mendapatkan modal dan seterusnya melengkapkan mereka dengan latihan untuk memastikan kemampanan perniagaan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga untuk membantu penerima, terutamanya kumpulan pendapatan B40 untuk membina rekod kredit yang baik bagi melayakkan mereka mendapat pembiayaan lain pada masa depan, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Ismail berkata, Sadaqa House turut menganjurkan kempen #KitaBantuKita bermula 25 Nov, 2020 hingga 31 Jan, 2021 bagi mengumpul dana untuk membantu mereka yang terjejas oleh gelombang ketiga COVID-19.

Sebagai nilai tambah, kempen ini menggunakan asas padanan 1:1. Bank Islam menawarkan dana padanan sehingga RM500,000 untuk setiap sumbangan di bawah kempen itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Muazzam Mohamed berkata Bank Islam percaya bahawa instrumen kewangan Islam boleh digunakan untuk menyokong pertumbuhan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Kami meletakkan inisiatif Kewangan Sosial sebagai sebahagian daripada Matlamat Strategik 2021 kami, dan sedang menyusun pelaksanaannya sebelum pandemik.

“Ketika dunia bergelut dengan kesan ekonomi daripada COVID-19, pandemik ini telah mempercepatkan misi kewangan sosial kami kerana keperluannya yang memerlukan penerokaan semua kemungkinan untuk mengurangkan impak terhadap kehidupan masyarakat dan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Sadaqa House, yang ditubuhkan pada 2018, akan membiayai kemudahan pembiayaan mikro daripada sumbangan yang dibuat oleh syarikat dan orang ramai. – MalaysiaGazette