KUALA LUMPUR -Strategi kerjasama serantau yang lebih kukuh dapat membantu kerajaan di rantau Asia dan Pasifik memacu pertumbuhan ekonomi dan pemulihan yang teguh daripada pandemik Covid-19, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Naib Presiden bagi Pengurusan Pengetahuan dan Pembangunan Mampan ADB Bambang Susantono berkata, kerjasama dan integrasi serantau telah menjadi pemacu yang berkesan untuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan pembasmian kemiskinan yang ketara.

“Bagaimanapun, pandemik Covid-19 telah memberi kesedaran kepada kita semua bahawa andaian dan pendekatan biasa kita terhadap kerjasama dan integrasi serantau perlu berubah dengan cara menggalakkan daya tahan dan kemampanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ADB telah mengeluarkan buku baharu bertajuk “Masa Depan Kerjasama Serantau di Asia dan Pasifik” yang memberikan pandangan dan asas bagi kerjasama serantau yang lebih berkesan untuk dunia yang dibentuk semula oleh pandemik.

Susantono turut menekankan keperluan untuk rantau Asia dan Pasifik menilai semula strategi dan landasan integrasi dan kerjasama serantaunya.

“Buku ini menawarkan penilaian penting mengenai inisiatif kerjasama serantau dan meninjau peluang untuk negara di rantau ini bekerjasama memulihkan dan membina semula daripada pandemik.

“Ia mengkaji pendekatan untuk mengukuhkan perdagangan dan pelaburan serantau; meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan antara rantau; mengurangkan risiko kewangan; menyelaraskan pendekatan dan sistem kesihatan; dan menambah baik penyelarasan mengenai isu rentas sempadan seperti perubahan iklim,” katanya.

Kerjasama dan integrasi serantau antara keutamaan operasi dalam Strategi 2030 ADB, dan memberi tumpuan kepada empat tonggak: jaringan infrastruktur; barangan awam serantau; perdagangan dan pelaburan serantau serta kerjasama kewangan.

ADB komited untuk mencapai rantau Asia dan Pasifik yang makmur, inklusif, berdaya tahan dan mampan, selain terus berusaha untuk membasmi kemiskinan tegar.

Ditubuhkan pada 1966, ADB mempunyai sebanyak 68 ahli, dan 49 daripadanya dari rantau ini. – MalaysiaGazette