Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) mengumumkan pihaknya akan menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut pejabat barisan itu, kesemua ahli-ahli Parlimen kerajaan telah menyatakan sokongan kepada undian yang akan dibuat esok.

Ahli Parlimen Backbenchers PN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bebas telah sebulat suara menyatakan sokongan padu untuk mengundi bagi meluluskan Bajet 2021 yang akan dilakukan esok.

“Keputusan yang dibuat ini adalah merupakan keputusan secara kolektif kesemua ahli parlimen Perikatan Nasional yang berjiwa besar dengan mengenepikan segala perbezaan demi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PNBBC dipimpin Datuk Seri Shahidan Kassim yang diangkat sebagai pengerusi pada 16 Mei lalu.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pula dipilih sebagai Timbalan Pengerusi PNBBC.

Dalam kenyataan itu, PNBBC berkata, keutamaan mereka adalah untuk kerajaan mengatasi krisis pandemik Covid-19 yang dihadapi negara kini.

Jelas barisan itu lagi, langkah menyokong itu demi kepentingan rakyat semata-mata.

“Keutamaan kami adalah menghadapi krisis pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat. Kami juga akan memberi komitmen, sokongan dan kepercayaan penuh terhadap kepimpina Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi.

Belanjawan 2021 dijangka lalui pengundian esok selepas sesi perbahasan kesemua menteri mengambil tempat.

Belanjawan kali pertama oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melalui proses pengundian oleh 220 Ahli Parlimen.

Dewan Rakyat mempunyai semua 222 ahli namun bagaimanapun berlaku dua kekosongan apabila kematian dua penyandangnya iaitu Mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia pada 2 Oktober lalu dan Allahyarham Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman pada 16 November lalu. – MalaysiaGazette