Penyampai radio Suria FM.

KUALA LUMPUR – Stesen radio Suria FM tidak pernah gagal dalam cuba meningkatkan prestasi radio mereka setiap tahun.

Ia telah dibuktikan melalui keputusan kaji selidik radio GfK Wave Kedua 2020 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Berdasarkan keputusan kaji selidik tersebut, stesen radio Suria FM mencatat peningkatan yang memberangsangkan dalam peratusan jumlah pendengar sebanyak 10.37 peratus dari tahun sebelumnya.

Ini sekaligus meletakkan kedudukan Suria FM pada kedudukan keempat teratas dikalangan stesen radio berbahasa Melayu dan juga secara keseluruhan di antara radio komersial di Malaysia.

Suria FM berjaya mencatatkan peningkatan sehingga 2.9 juta pendengar di mana 88 peratus daripada jumlah ini merupakan pendengar dari kawasan pusat bandar dengan 50 peratus jumlah pendengarnya memperoleh pendapatan seisi rumah lebih daripada RM4,000 ke atas.

Suria Cinta kekal sebagai segmen radio yang mempunyai tempoh masa tertinggi dihabiskan untuk mendengar (TSL) di antara empat stesen radio berbahasa Melayu tertinggi iaitu selama 2 jam 34 minit sepanjang Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 malam hingga 1 pagi.

Segmen Team Pagi Suria dan Hello Suria pada hari Sabtu pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang pula mencatatkan peningkatan pendengar eksklusif yang tertinggi di antara semua stesen radio komersial berbahasa Melayu untuk W2 2020 sebanyak +27 peratus dan +16 peratus berbanding tahun lepas.

Suria FM juga mengekalkan peningkatan jumlah pendengar yang tertinggi di kawasan Utara Semenanjung Malaysia sebanyak 34.35 peratus berbanding tahun sebelumnya dan juga 14.20% di kawasan Selatan Semenanjung Malaysia.

Suria FM juga membuktikan kedudukannya sebagai salah satu saluran digital kreatif pilihan ramai apabila platform digital Suria iaitu media sosial Suria Malaysia, laman web www.suria.my dan YouTube Suria TV meraih hampir dua juta pengikut dan tontonan.

DJ Lin popular dengan segmen Suria Cinta.

Terbaharu, program digital Suria Duo X yang dianjurkan baru-baru ini mencatatkan lebih satu juta tontonan dan penglibatan melalui radio dan beberapa platform digital Suria seperti entri melalui Instagram, episod mingguan di Facebook dan YouTube, serta penglibatan komuniti melalui kelab peminat artis dan penyokong finalis Suria Duo X.

Malah, seramai lebih 5,000 orang jumlah penonton yang menonton siaran langsung secara serentak ketika episod finale Suria Duo X.

Bukan itu sahaja, pendengar kini juga boleh mengakses dan mendengarkan Suria FM melalui aplikasi SURIA mahupun laman web 24 jam setiap hari, dimana-mana sahaja, pada bila-bila masa.

Sehingga kini, seramai 770,000 pengguna telah memuat turun aplikasi SURIA menerusi AppStore dan Playstore.

Menurut Pengurus Kanan Suria, Cik Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, Suria FM sentiasa akan berusaha memperbaiki prestasi seiring dengan perkembangan teknologi dunia digital pada masa kini. Keputusan ini juga membuktikan bahawa radio masih relevan menjadi pilihan masyarakat sebagai sumber hiburan dan maklumat.”

“Untuk memberikan kepuasan mendengar radio dan memenuhi keperluan kandungan untuk sasaran pendengar, kami akan sentiasa meneroka idea kandungan baru dan pelbagai platform antaranya melalui platform radio, digital dan siri jelajah (on ground) secara lebih kreatif,” tambahnya.

Suria FM adalah sebuah stesen radio swasta yang dikendalikan oleh Rimakmur Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Star Publications (M) Berhad. – MalaysiaGazette

Penyampai radio Suria FM dalam segmen Suria Petang.