Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas berikutan kes tangkapan pecah rumah dan kedai pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 kes jenayah pecah kedai serbaneka berjaya diselesaikan apabila polis berjaya memberkas empat lelaki warga tempatan di Seri Kembangan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, tangkapan dibuat selepas empat suspek memecah masuk sebuah kedai serbaneka di Bandar Puteru, Puchong pada 15 November 2020 yang lalu.

“Pengadu seorang pengurus kedai serbaneka membuat laporan pada 16 November bahawa kedai yang ditinggal dalam keadaan berkunci, kehilangan dua mesin wang dan wang tunai bernilai RM2,094.20.

“Bertindak atas maklumat pada 22 November lalu, jam 9 malam Pasukan Cawangan Siasatan Jenayah D4 IPD Serdang telah pergi ke sebuah rumah di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang.

Dalam serbuan itu, polis turut menemui barang-barang samun.

Nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM30,000.

Selain itu, polis turut merampas empat buah telefon bimbit, tiga unit kaberator motosikal, tiga helai sarung tangan, sehelai topeng muka, 53 botol minuman keras, dua bilai pedang, sebilah pisah dan banyak lagi,” tambahnya.

Empat suspek berkenaan mengakui terlibat dalam kejadian samun dan memecah masuk salah sebuah kedai yang tular di media sosial baru-baru ini.

Razali menambah, empat suspek mengaku menggunakan motosikal semasa melakukan jenayah dan turut menyamun kafe dan restoran.

Kesemua suspek yang berusia  antara 30 hingga 40 tahun mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Kes ini di siasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah, yang boleh dipenjara 14 tahun atau denda atau kedia-dua sekali jika sabit kesalahan. –MalaysiaGazette