Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah memulakan penyiasatan berhubung maklumat isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima daripada para pengusaha industri tetapi tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

Menurut sumber, berikutan daripada siasatan itu, satu operasi telah dijalankan semalam di empat pejabat yang dipercayai terlibat dalam proses kutipan royalti iaitu PPM, RPM, MACP dan PRISM.

“Setakat ini, SPRM sedang mengambil dokumen- dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian. Beberapa individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu penyiasatan ini,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi bagi mendapatkan perkembangan itu telah mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung isu.

Menurut beliau, masih terlalu awal untuk SPRM memberi sebarang komen berhubung siasatan kes tersebut.

“Untuk berlaku adil ke semua pihak yang terlibat, semua pihak diminta untuk tidak mensensaskan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” tegasnya.

Sebelum itu, SPRM menerima aduan daripada Persatuan Karyawan Malaysia mengenai isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta yang mendakwa royalti yang dikutip tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.- MalaysiaGazette