Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Seramai 13 Ahli Parlimen yang berdiri memohon supaya diadakan undi belah bahagi bagi menentukan Belanjawan 2021 diluluskan atau tidak, gagal mendapat sokongan di kalangan mereka sendiri.

Blok pembangkang hanya memerlukan dua Ahli Parlimen sahaja, untuk mencukupkan syarat kepada 15 orang bagi membolehkan undi belah bahagi Belanjawan 2021 ditentukan.

Mohamad Sabu

Namun, di kalangan Ahli Dewan dari blok pembangkang sendiri nampak berbelah bahagi sehingga Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan suara ramai.

MalaysiaGazette difahamkan, 13 Ahli Parlimen yang tidak menyokong Belanjawan 2021 dan minta untuk undi belah bahagi ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Abd. Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), dan Mohamad Sabu (Kota Raja).

Dr. Dzulkefly Ahmad

Turut bersama mereka ialah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Datuk Hatta Ramli (Lumut), Anuar Tahir (Temerloh), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Hasanuddin Yunus (Hulu Langat), Hasan Bahrom (Tampin), dan Salahuddin Ayub (Pulai).

Nampaknya tiada dari DAP dan PKR yang bangun meminta undi belah bahagi diadakan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersyukur kerana Dewan Rakyat berjaya meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Peringkat Dasar.

Siti Zailah Mohd Yusoff, Ahli Parlimen Rantau Panjang juga mengucapkan Alhamdulillah kerana Allah mendengar dan memperkenankan doa mereka semua, yang mempermudahkan Belanjawan 2021 diluluskan.

Sementara itu suasana Dewan Rakyat kecoh ketika ahli-ahli Parlimen yang meminta belah bahagi bangun.

Teriakan seperti ‘biar rakyat tengok siapa mereka’, ‘kamera tunjuk muka mereka’, ‘Pokok Sena, Shah Alam tak malu’ kedengaran berselang-seli.

– MalaysiaGazette