Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- Pakatan Harapan (PH) mengakui beberapa pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2021 hari ini mampu memberi kelegaan kepada rakyat walaupun masih banyak persoalan yang diutarakan pihak pembangkang itu masih belum terjawab.

Disebabkan itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau meminta rakan-rakannya di dalam pakatan pembangkang memberi laluan supaya usul Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan.

Namun begitu, tegasnya, PH akan bertarung habis-habisan apabila usul tersebut dibawa ke peringkat jawatankuasa bermula Isnin ini.

“Kami mengambil keputusan untuk memberi laluan kerana ini baru pusingan pertama dan perbahasan yang lebih teliti akan dibuat di peringkat jawatankuasa bermula Isnin ini.

“Kami juga mengambil keputusan untuk tidak menyokong undi belah bahagi kerana terdapat persepsi dalam kalangan rakyat bahawa sekiranya usul ini tidak diluluskan ia akan menganggu pembayaran gaji, emolumen, elaun, bayaran lebih masa dan bantuan kepada petugas hadapan.

“Walaupun persepsi tersebut adalah kurang tepat tetapi ada yang berpendapat sedemikian.

“Minggu depan kita akan bertarung dengan lebih sengit,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, pihak kerajaan tidak perlu berasa terlalu gembira kerana bacaan kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 berjaya diluluskan hari ini.

Ini kerana pihak pembangkang telah membuat keputusan untuk meminta undian belah bahagi sekiranya berlaku pencanggahan pendapat di antara kementerian-kementerian terbabit dengan mereka terutamanya dalam urusan urustadbir yang baik, isu penyelewangan dan sebagainya.

“Masih terlalu awal untuk mereka (kerajaan) merayakannya.

“Padahal yang kita hendak, bukanlah kemenangan politik tetapi menangani soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Dalam sidang media itu juga, Anwar mendakwa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menyalahguna kedudukannya apabila tidak memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen bertanya soalan sebaliknya asyik meminta Tengku Zafrul meneruskan penggulungan.

-MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.