KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meningkatkan kedudukannya dalam kalangan 60 peratus teratas universiti terbaik Asia, menurut laporan Quacquarelli Symonds (QS).

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, ini merupakan tahun kedua UTeM menyertai senarai penarafan tersebut dan pencapaian ini memberangsangkan.

Katanya, dengan kedudukan terbaharu ini UTeM telah melonjakkan kedudukan dalam kalangan 401-450
berbanding sebelumnya pada kedudukan 451-500.

Kedudukan ini berdasarkan kriteria bertaraf dunia yang telah ditetapkan dalam QS World University Rankings: Asia 2021.

“Penarafan QS ini menilai 11 komponen utama bagi sesebuah universiti meliputi aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sitasi, pengantarabangsaan serta reputasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Raha tertekad untuk terus menyerlah dan menambahbaik kedudukan ini pada tahun mendatang walaupun dalam persekitaran global yang dipengaruhi pasca Covid 19.

“Ini adalah cabaran yang sedia kami galas demi memartabatkan UTeM di mata dunia selari dengan visinya iaitu menjadi universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette