Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Niat parti pembangkang supaya undi belah bahagi Belanjawan 2021 gagal selepas kurang 15 ahli Parlimen daripada pihak mereka yang bersuara dalam Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan ia kegagalan yang berpunca daripada kalangan pembangkang itu sendiri.

“Alhamdulillah bajet (Belanjawan 2021) membela rakyat lulus dengan lebihan suara pada bacaan kedua sebentar tadi. Percubaan pembangkang meminta undi belah bahagi ditewaskan oleh pembangkang sendiri apabila mereka yang berdiri memohon undi sedemikian tidak mencukupi 15 orang seperti disyaratkan..Tahniah semua MP (ahli Parlimen),” kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menerusi Twitter hari ini.

Terdahulu penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di Dewan Rakyat petang ini  memaklumkandalah persetujuan kerajaan untuk pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program i-Sinar.

Katanya, semua lapan juta ahli KWSP yang menghadapi masalah kewangan layak membuat permohonan.

Untuk rekod, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini membuat pendirian akan menyokong Belanjawan 2021  secara bersyarat.

Dua syarat itu adalah kerajaan perlu meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off dan lanjutan moratorium sehingga Jun 2021.-MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.