Gambar hiasan

OTTAWA – Kanada boleh meluluskan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer pada Disember iaitu sekitar waktu yang sama dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, kata seorang pegawai tinggi badan pengawal selia ubat-ubatan negara itu.

Sebelum ini, Health Canada berkata, kelulusan dijangka diperolehi lebih awal iaitu pada suku pertama.

Vaksin Pfizer dan BioNTech adalah merupakan vaksin paling terkini dalam semakan Health Canada, kata Penasihat Kanan Perubatan agensi itu, Supriya Sharma dalam satu taklimat media di Ottawa.

Ketika ditanya sama ada rakyat Kanada boleh menerima vaksin itu sebelum akhir tahun, Sharma berkata, beberapa perkara sedang berlaku serentak iaitu semakan badan kawal selia, pengilangan dan pengagihan yang mana ia menyukarkan untuk menentukan tarikh sebenar.

“Secara amnya, saya rasa pengesahan boleh diperolehi sekitar Disember dan akan dihantar pada Januari,” katanya.

Tambahnya, Kanada sedang menyemak data yang sama dengan badan kawal selia di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah serta mempunyai sistem pengesahan yang serupa yang digunakan semasa darurat kesihatan umum.

“Melihat kepada progres semakan, kami menjangkakan keputusan akhir mengenai vaksin tersebut adalah serentak dengan US FDA dan Agensi Perubatan Eropah,” katanya.- Agensi