Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid

KUALA LUMPUR – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid akan bertukar ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuatkuasa secara rasmi pada 28 Disember depan.

Beliau antara 10 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran tidak lama lagi, menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad.

Nik Ros Azhan akan memegang jawatan Ketua Staff Pasukan Siasatan Khas dan Teknikal, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di KDN.

Tempat beliau di JSJ Kuala Lumpur akan diisi oleh Penolong Pengarah (D4) Risikan dan Operasi JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner, Saiful Annuar Yusof dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Turut bertukar adalah Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Ibrahim Saad yang akan berhijrah ke KDN Putrajaya sebagai Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Sempadan.

Manakala Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner (ACP) Azhan Abdul Halim pula akan memangku SAC dan bertukar ke Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Bukit Aman.

Penolong Pengarah Pengurusan, Urusetia Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mohd Shukri Ismail akan bertukar sebagai Timbalan Ketua Urus Setia (Teknologi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Johor, Superintendan Ismail Dollah pula akan mengisi jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Batu Pahat dengan memangku pangkat ACP menggantikan penyandangnya Azhan Abdul Halim.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin pula dinaikkan pangkat sebagai ACP dan dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah.

Timbalan Komanden Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi, Kedah, Superintendan Mohd Junaidi Mat Akhir dilantik sebagai Komanden untuk PULAPOL Langkawi.

Pegawai Turus Perolehan Am, Cawangan Perolehan Bahagian Kewangan, Perolehan dan Kepolisan Am Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Superintendan Rose Baini Kasim ditukarkan sebagai Penolong Pengarah Pengurusan, Urusetia Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Akhirnya, Pegawai Turus E8F Cawangan Khas Bukit Aman, Superintendan Shariman Ashari bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Langkawi dengan memangku pangkat ACP.-MalaysiaGazette